Saturday, December 19, 2009
TANGGUNGJAWAB ISTERI
Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: "Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya" - HR Abu Daud dan al-Hakim.
Isteri hendaklah mematuhi perintah si suami asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Andainya suami menyuruh melakukan dosa maka isteri dibenarkan membantah. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak boleh mentaati mahkluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT" - HR Ahmad.
Setelah berkahwin, suami mempunyai hak ke atas isteri. Oleh sebab itu, jika isteri ingin keluar rumah atau berpuasa sunat, dia hendaklah meminta izin daripada suami. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak halal bagi sesorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa, sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu" - HR al-Bukhari, Muslim dan Ahmad Ibn Hanbal.
Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dikhuatiri si isteri tidak dapat melayan kemahuan si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.
Melayan suami
Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan agar dia melayan kehendak suaminya. Sabda Rasulullah SAW: "Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi dia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh" - HR sebahagian Ahli Sunnah.
Untuk mengelakkan daripada digolongkan ke dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.
Mengurus rumahtangga
Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.
Apabila si suami memberi wang perbelanjaan kepada si isteri, maka si isteri mestilah berbelanja dengan bijak serta tidak membazir-bazirkan wang pemberian suaminya. Si isteri hendaklah berbelanja mengikut keperluan dan bukannya dengan hawa nafsu. Si isteri mestilah memahami keadaan ekonomi suami yang sibuk mencari nafkah untuk keluarganya.
Oleh sebab itu, si isteri hendaklah membuat perbelanjaan keluarganya dengan bijak supaya tidak ada perbelanjaan melebihi pendapatan. Maka, si isteri hendaklah berjimat-cermat dalam membuat pembelian supaya suami isteri itu hidup dalam serba kesederhanaan sahaja. Tanggungjawab Bersama.
Pengurusan rumahtangga adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun mempunyai pembantu rumah, isteri masih bertanggungjawab untuk menyelia segala pengurusan rumah itu. Suami pula diharapkan dapat membantu si isteri dalam melakukan kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerjasama daripada kedua-dua belah pihak, maka akan wujudlah sebuah keluarga bahagia serta dapat merapatkan lagi hubungan sesama mereka.
Menjaga maruah diri, suami dan keluarga
Sebagai seorang isteri, dia hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.
Firman Allah: (Hai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah maha Pengampun lagi maha Penyayang.") - Al-Ahzab; 59.
Seperti juga tanggungjawab si suami terhadap si isteri, segala kecacatan yang ada pada si suami hendaklah dirahsiakan. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan aib timbul yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan seperti ini perlu dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia.
Mnyenangkan hati suami
Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.
Dalam pepatah Arab ada menyebut: "Accept the little I may give you, my love for you will grow deeper, and raise not your voice in my presence, especially when I am in a moody crisis" - (Imam al-Ghazali).
Untuk menyenangkan hati si suami melihat isteri, maka si isteri haruslah menjaga dirinya supaya kelihatan ceria dan menarik. Ketika berada di dalam rumah, si isteri perlulah mengenakan solekan yang sewajarnya agar suami tertarik hati melihatnya. Si isteri juga hendaklah memakai wangi-wangian yang boleh menarik perhatian si suami.
Seorang perempuan tua Arab ada menasihatkan anaknya pada hari perkahwinannya: "Oo my daughter! You are leaving the home in which you were brought up for a house in which you brought up for a house unknown to you and to a companion unfamiliar to you. Be a floor to him, he will be a roof to you; be a soft seat to him, he will be a pillar for you; and be like a slave girl to him and he will be a slave boy to you. Avoid inopportune behaviour, least he should be bored with you; and be not aloof lest he should become indifferent to you. If he approaches you, come running to him; and if he turns away, do not impose yourself upon him. Take care of his nose, his eye and his ear. Let him not smell except a good odour from you; let not his eye see you except in an agreeable appearance; and let him hear nothing from you except nice, fine words" - (Imam al-Ghazzali).
Pendorong dan memberi motivasi
Isteri yang solehah seharusnya menjadi teman berunding bagi suami, menjadi sahabat dalam menyelesaikan masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagi 'teman hidup'. ika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan keluarganya, maka berilah motivasi kepada suami disamping menghiburkan hatinya.
Dalam sesebuah institusi keluarga, ahli-ahlinya perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab supaya pembentukan keluarga bahagia akan tercapai. Dalam hal yang sedemikian, terdapat beberapa tanggungjawab yang dipikul bersama oleh suami isteri. Kedua-duanya perlulah mendalami ilmu fardu ain. Ini adalah perlu kerana ilmu ini merupakan panduan untuk mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Kita juga wajib menuntut ilmu sampai ke liang lahad. Dengan mempelajari lebih banyak ilmu fardu ain, suami isteri dapat menghayati kehidupan Islam lebih bermakna lagi.
Untuk menyelesaikan apa juga masalah keluarga, suami isteri perlulah sentiasa berbincang demi kebaikan bersama. Perbincangan adalah lebih baik daripada bersikap autokratik kerana kata sepakat dapat dicapai untuk kebaikan bersama dan tidak untuk kepentingan satu pihak sahaja. Malah, dengan perbincangan juga suami isteri boleh mendapat ilham baru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing, kadang-kadang kita memerlukan pertolongan dalam hal-hal kebajikan.
Isteri kadang-kadang memerlukan pertolongan si suami untuk membuat kerja-kerja rumah. Dalam hal sebegini, adalah perlu bagi pasangannya untuk meringankan beban yang dihadapi oleh pasangannya supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul. Apabila seorang daripada mereka melakukan perkara yang ditegah, adalah menjadi tanggungjawab pasangannya untuk menegur kesilapan yang telah dilakukan. Suami isteri hendaklah saling tegur menegur dan menghalang pasangan masing-masing daripada melakukan kemungkaran, sebaliknya melakukan lebih banyak hal-hal kebajikan.
Kedua-duanya perlulah bersikap jujur dan selalu menepati janji antara satu sama lain kerana perkahwinan dianggap sebagai satu institusi yang mana ahli-ahlinya perlulah saling percaya mempercayai antara satu lama lain tanpa perlu berbohong atau menyimpan rahsia. Oleh sebab itulah maka suami isteri hendaklah bersikap terbuka dan berterus terang dalam banyak hal tanpa menyembunyikan kebenaran.
Suami isteri perlulah saling memaafkan dan menasihati kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Ini adalah penting kerana tanpa sikap pemaaf dan saling tegur menegur ini, maka suami isteri itu akan hidup dalam kekacauan kerana sering melakukan kesilapan tanpa ada orang yang ingin menegurnya ataupun sering berbalah kerana tidak ada sikap pemaaf itu.
Salah satu hikmah berkahwin ini ialah suami isteri dapat melakukan solat berjemaah. Seperti yang diketahui, jika kita solat berjemaah, maka pahala yang diperolehi adalah berganda-ganda daripada solat secara sendiri. Dengan melakukan solat berjemaah ini maka perhubungan ukhwah antara suami isteri dapat dipereratkan. Yang paling penting dalam kehidupan sebagai suami isteri ini ialah bertawakal kepada Allah setelah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berumahtangga.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, dapatlah kita lihat bahawa perkahwinan ini adalah penting dalam sesebuah masyarakat kerana keluarga merupakan batu asas dalam pembinaan sesebuah masyarakat. Untuk melahirkan sesebuah masyarakat yang bahagia, kita perlulah memastikan bahawa ahli-ahli masyarakat itu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Untuk melahirkan masyarakat yang yang kuat, mulia, dan saling bertangungjawab, pembentukan keluarga yang bahagia adalah sangat penting. Oleh sebab itu, adalah penting untuk membentuk sesebuah keluarga bahagia.
Thursday, December 17, 2009
SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Salam Maal Hijrah 1431 Kepada semua Muslimin & Muslimat Yang Dirahmati Allah SWT..
Bersama lah Kita berhijrah ke arah kebaikan..Amin.
Friday, October 30, 2009
Meningkatkan kekuatan akal
Pada zaman Salafus soleh dahulu, mereka terkenal dengan kekuatan akal fikiran ataupun daya ingatan yang tajam. Di dalam sebuah keluarga, mereka memastikan paling kurang seorang mesti menghafal Al-Quran. Ada di antara mereka yang menghafal puluhan ribu hadis. Di antaranya Imam Ahmad bin Hambal menghafal sejuta hadis. Apakah rahsia kekuatan akal fikiran mereka? Ulama-ulama Islam telah sepakat bahawa syarat yang pertama dan utama untuk mempunyai kekuatan akal yang kuat ialah menjauhi segala maksiat kepada Allah. Syarat kedua ialah makan tidak berlebihan.
Di antara petua penting menguatkan akal menurut ahli-ahli perubatan Islam:
1. Makan kismis pada kadar 21 biji sehari.
2. Makan buah badam.
3. Makan daging kambing.
4. Halwa halia.
5. Kemiyan putih (mustaki) atau kemiyan serani.
6. Makan buah limau.
LARANGAN
Ahli-ahli perubatan dan ilmuan Islam juga, kuat menjaga pantang larang yang boleh melemahkan kekuatan akal.
Di antaranya:
1. Mengelakkan minuman yang terdapat semut di dalamnya.
2. Mengurangkan makanan-makanan yang masam.
3. Mengelakkan makan ikan di bahagian kepala.
4. Mengelakkan tidur selepas subuh, asar dan maghrib.
5. Menjaga kebersihan dalam semua aspek terutama gigi dengan bersiwak setiap kali waktu sembahyang.
Untuk menjadi peribadi yang berjaya akal fikiran mesti sentiasa di majukan dan dipertingkatkan. Jadikan pandangan anda lebih positif, lebih global (luas) dan sentiasa terbuka. Disiplin untuk akal perlu ada supaya ia dapat berfikir secara teratur dan daya kekuatan akal dapat digunakan semaksima yang mungkin untuk memajukan diri sendiri.
Wednesday, October 28, 2009
Amalan Zikir Memberi Ketenangan Jiwa
Ketahuilah bahawa dalam Al-Quran banyak ayat yang menganjurkan supaya sentiasa berzikir kepada Allah seperti tertera dalam surah Al-Baqarah ayat 152 yang membawa maksud "Maka berzikirlah kamu akan Aku supaya Aku menyebut akan kamu dan syukurilah olehmu akan Aku dan jangan kamu ingkari akan (nikmat Ku)"
Dalam surah Al- Anfaaal ayat 45 turut membawa maksud: "Ucapkanlah olehmu akan Allah dengan sebutan yang banyak supaya kamu beroleh kemenangan" Juga dinyatakan dalam surah Ar-Ra'du ayat 28 yang membawa maksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram"
Manakala Rasulullah pula bersabda: "Tidak duduk satu jamaah mengucapkan zikrullah, melainkan (di tempat itu) sudah dikelilingi malaikat yang dipenuhi rahmat dan diturunkan kepada mereka sakinah atau ketenangan hati".
Perlu diketahui pula jika sesaorang yang tidak pernah berfikir dan mengingati Allah, maka Allah akan menurunkan syaitan sebagai teman dalam hidupnya. Allah berfirman dalam Al-Quran surah Al-Araf ayat 204 bermaksud: "Barang siapa yang berpaling akan zikir kepada Allah, maka kami turunkan kepadanya syaitan yang terus menerus menjadi kawan seiring baginya".
Dengan demikian bertapa hikmah daripada zikir itu, disamping mendapat pahala daripada Allah. Bagi yang membaca hatinya akan menjadi tenteram dan penuh sakinah dalam kehidupannya.
Saturday, October 10, 2009
Rahsia Keajaiban Solat
| Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Dia adalah seorang doktor neurologi. Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan Melalui Al-Qur'an". Kajian perubatan melalui Al-Qur'an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak masuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal. Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang. Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah. Jadi barang siapa yang tidak menunaikan sembahyang, maka otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal. Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini. Kesimpulannya: Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak bersembahyang, apatah lagi yang tidak beragama Islam, walau pun akal mereka berfungsi dengan secara normal tetapi sebenarnya dalam sesuatu keadaan mereka akan kehilangan pertimbangan dalam membuat keputusan yang normal. Justeru itu, tidak hairanlah jika manusia ini kadang kala tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya, walau pun akal mereka mengetahui bahawa perkara yang akan dilakukan itu adalah bersalahan dengan kehendak mereka. Inilah adalah kesan daripada ketidakupayaan otak mereka untuk mempertimbangkan akan perbuatan mereka itu secara lebih normal. Maka dengan itu tidak hairanlah timbulnya bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat masakini. Dari itu, marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar daripada kisah di atas. Ambillah Islam secara menyeluruh dan bukannya secara berdikit-dikit. |
| |
Waktu mustajab berdoa
Doa adalah lambang perhambaan kita dan kita dicipta supaya menjadi hamba-Nya. Berdoa, doa juga, tetapi supaya mudah diterima, kita patut meneliti dan tahu waktu yang sangat mustajab berdoa antaranya:
- Waktu sepertiga malam, iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (para muttaqin) sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Adz-Dzariyat: 18-19)
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah, iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Waktu antara azan dan iqamah, iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah, sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.
- Pada waktu sujud. Iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.
Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a, lalu Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (kabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
- Selepas solat fardu. Iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu, termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya:
“Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat.” (Qaaf: 40)
Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu.
Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.
- Pada waktu khusus, tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya, iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.
Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda:
“Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.”
Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.
Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya di akhir waktu Asar.
Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.
Monday, September 28, 2009
11 JENIS MANUSIA YANG DIDOAKAN MALAIKAT
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "
10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."
Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.
Wallahualam....
Thursday, September 24, 2009
KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W.
Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah deign telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih saying. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-katku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.
Friday, September 18, 2009
Thursday, September 17, 2009
Thursday, September 10, 2009
Tiga tahap berpuasa
IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah.
Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama.
"Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu." (al-Baqarah:83)
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Didirikan Islam atas lima perkara - antaranya puasa Ramadan." (Riwayat Bukhari)
Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda.
Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.
Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.
Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.
Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.
Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.
Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat.
Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.
Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.
Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.
Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.
Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:
# Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.
# Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.
# Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar.
Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: "Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram." (al-Maidah:42)
# Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka.
Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.
# Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.
Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.
# Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

